Tuesday, May 5, 2009

~kamu tiada ganti~

Siapa kata jangka masa akan menentukan kukuh dan teguhnya sesebuah hubungan itu? Siapa pula yang membuat andaian bahawa hubungan yang sekejap cuma itu hanya bagai benang yang bakal putus? Siapa kamu untuk membuat andaian sebegitu rupa? Saya percaya semuanya bergantung kepada nawaitu kamu dalam sesebuah hubungan. Perkenalan yang lama bukan bukti akan terhasil sebuah kisah agung mahakarya cinta. Perkenalan yang sekejap cuma pula bukan bermakna akan ada tangis di hujung nanti. Jadi bergantung kepada apakah semua itu? Saya juga kurang mengerti. Sekadar memahami dan memerhati tapi tidak mengalaminya hanya menjadikan saya tukang hujah yang sekadar berlandaskan teori dan amatan sahaja. Kutipan pengalaman itu sebenarnya lebih berharga. Jadi saya kini keliru. Keliru akan keberadaan diri. Di mana sebenarnya letak diri saya untuk memperkatakan tentang keutuhan sesebuah perhubungan.

seulas rasa yang menabir jiwa:
"saya bertemu dia dan dia sebelum bertemu kamu. Saya kira dia yang pertama dan terakhir kerana saya sebenarnya tidak betah dengan hubungan itu. Tapi, siapa sangka saya bertemu kamu. Hasrat hati untuk berkelana di situ menemukan saya dengan kamu. Saya tidak pasti bagaimana kita bermula dan saya tidak pasti bila kita menyetujui perkara itu bersama. Tidak pernah berbicara empat mata bukan penghalang untuk keberlangsungan hubungan itu. Hingga kini kamu masih di sini. Di hati. Sedang dia dan dia yang awal sudah menghilang pergi. Entah mana silapnya. Saya tidak pasti. Tapi, kamu mengubah segalanya jadi yang baik-baik sahaja. Biar tiada mereka. Cukup sekadar kamu. Kini kita jauh. Di sini saya bertemu insan-insan yang seakan kamu gerak dan laku. Tapi itu bukan kamu. Saya cuba mendekati dan menyelami mereka dari jauh. Ternyata, kamu tiada ganti. Terima kasih kerana kamu hadir di sisi kala itu.

p/s: bicara teman ku lakari di pentas ini.Biar tanpa bibit-bibit aksara nama, pasti sang empunya nukilan hati memahaminya.

~Andai hubungan perlukan pengertian, di manakah definisi itu sebenarnya? Andai perhubungan perlukan pengorbanan, di mana letaknya nadi luka itu?~

0 Comments:

Post a Comment